24 JUN 2022 - Sinergi semua pihak yang terlibat dalam ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu diperkukuh bagi memastikan isu kebergantungan industri kepada tenaga kerja asing di negara ini dapat diselesaikan.
Untuk itu, institusi penyedia TVET, komuniti, industri serta pihak-pihak berkepentingan yang lain perlu memainkan peranan bagi memastikan hasrat untuk menjadikan TVET sebagai pemacu agenda pembangunan negara melalui bekalan modal insan berkemahiran tinggi yang menepati keperluan industri dapat direalisasikan.
 
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, institusi TVET juga perlu memainkan peranan bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan kemahiran yang berkisarkan kualiti graduan yang dihasilkan oleh institusi pendidikan dan latihan berbanding keperluan industri.
“Menjadi satu cabaran juga kepada kita untuk meningkatkan kemahiran komuniti di kawasan luar bandar dan yang paling utama, untuk menjadikan TVET pilihan utama pelajar melanjutkan pengajian,”
“Disebabkan itu, saya menyeru agar semua institusi TVET bersifat dinamik dalam menambah baik kurikulum latihan, meningkatkan kemahiran tenaga pengajar dan penyediaan fasiliti serta peralatan yang bersesuaian,”
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Minggu TVET Negara 2022 (MTN 2022) dan Majlis Pentauliahan Program Latihan Preparing The Experts yang diadakan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
 
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Ts. Zainab Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pembangunan Kemahiran Ts. Kamaruzaman Md. Ali, Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Dr. Mohd Zahari Ismail dan Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia Tan Sri Dato’ Sri Sufri Mohd Zin yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Industri JPPKK.
Dalam majlis tersebut, seramai 30 wakil peserta yang menjalani program latihan Preparing The Experts, kendalian Pusat Bertauliah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah turut menerima sijil pentauliahan masing-masing.
Mereka merupakan sebahagian daripada 285 pelatih program kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia dengan Mega Jati Sdn. Bhd. dan Thinkers Consultancy Sdn. Bhd. yang bermula sejak September 2021.
Turut diadakan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Sijil Kolaborasi Strategik (CoC) melibatkan 26 buah politeknik dan kolej komuniti daripada seluruh negara.
 
Sementara itu, Dr. Mohd Zahari menyifatkan penganjuran MTN 2022 dilihat berjaya mencapai objektifnya disamping menerima sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran hampir 20,000 pengunjung berbanding 10,000 yang disasarkan.
“Ini adalah satu sejarah apabila buat pertama kalinya 11 kementerian yang merupakan penyedia TVET negara berhimpun, bergabung sumber dan tenaga dalam menjayakan acara tahunan ini. Ia adalah satu kejayaan yang besar buat KPT dan JPPKK,”
MTN 2022 bermula sejak 18 Jun 2022 dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 20 Jun 2022. Pelbagai aktiviti diadakan dengan kerjasama pelbagai kementerian, jabatan dan agensi termasuk pihak swasta antaranya pameran interaktif TVET, demonstrasi sistem dan alatan, taklimat kerjaya, temuduga terbuka industri, bacaan Yasin Perdana, e-sport games, persembahan kebudayaan, ujibakat lakonan dan nyanyian, Jualan Terus Dari Ladang oleh FAMA, pengurangan saman PDRM dan MBSA serta pelbagai lagi.
 
SEKRETARIAT MINGGU TVET NEGARA 2022.