Jabatan Sukan Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK) merupakan jabatan yang menguruskan hal-hal berkaitan sukan, kokurikulum berkredit dan aktiviti kebudayaan dan kesenian di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. JSKK memastikan kecemerlangan dalam bidang sukan, kokurikulum dan kebudayaan selari dengan KPI politeknik samada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa. Kokurikulum di politeknik meliputi segala kegiatan di luar bilik kuliah seperti sukan, badan uniform dan kelab persatuan. Ia merupakan satu bidang pembelajaran yang memberi penumpuan ke arah pemupukan dan perkembangan diri individu melalui psikomotor, kognitif dan afektif.

JSKK juga bertanggungjawab ke atas pembangunan aspek-aspek yang berkaitan dengan sukan, kokurikulum dan kebudayaan dalam kalangan pelajar dan kakitangan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Azizi Shah. Pelbagai kemudahan dan aktiviti sukan, ko-kurikulum dan kebudayaan disediakan sama ada berbentuk kompetitif mahupun rekreasi untuk membantu meningkatkan bakat-bakat semulajadi dalam bidang sukan dan pengurusan sukan. Penglibatan aktif dalam aktiviti-aktiviti sukan, ko-kurikulum dan kebudayaan diharap dapat meningkatkan pembangunan fizikal, sosial dan mental pelajar serta meningkatkan kemahiran pengurusan sukan dalam kalangan kakitangan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2015-2025, terdapat 10 lonjakan utama bagi mentransformasikan sistem pendidikan negara dan salah satu antaranya adalah lonjakan 1 iaitu melahirkan graduan yang holistik dan seimbang.Graduan holistik dan seimbang adalah mereka yang mempunyai ilmu dan akhlak yang mewujudkan sifat-sifat intelek,rohani,emosi dan fizikal yang membantu perkembangan peribadi mereka dan mempunyai keupayaan untuk menyumbang sebagai warganegara yang aktif kepada masyarakat nasional dan global. Peranan ke arah itu sentiasa di titik beratkan oleh Jabatan Sukan Kokurikulum dan kebudayaan (JSKK) selaras juga dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan kedua-dua cabang akhlaq dan ilmu tersebut bagi melengkapkan pelajar sebagai masyarakat yang patriotik dan menyumbang kepada negara.

Program dan inisiatif yang membangunkan komponen bukan akademik dilaksanakan di dalam bilik kuliah dan menerusi aktiviti kokurikulum. Kementerian telah menetapkan setiap pelajar mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya 1 sukan, 1 kelab dan 1 badan beruniform bagi membina bakat dan memupuk minat, di samping membentuk kemahiran kepimpinan.  Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum memberikan pelajar peluang untuk membangunkan bakat dan minat mereka di luar persekitaran bilik darjah yang formal. Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan pelibatan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pendidikan tinggi.

Aktiviti yang dianjurkan oleh JSKK sememangnya meliputi segala kegiatan di luar bilik kuliah seperti sukan, unit uniform, kelab dan persatuan. Kegiatan harus mengandungi unsur-unsur perkembangan nilai yang boleh membantu proses pembentukan diri bagi menjadikan mereka warga negara yang lengkap dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara. Segala aktiviti yang dirancang bertujuan untuk para pelajar mengamalkan gaya hidup yang sihat disamping membentuk pelajar yang berketerampilan dan mempunyai semangat, jatidiri, dan berdisiplin serta bersedia menghadapi cabaran dan menjadikan satu aktiviti yang dapat mengisi masa lapang sepanjang pengajian

JSKK terbahagi kepada tiga unit iaitu Unit Kokurikulum Berkredit, Unit Sukan  serta Unit Kebudayaan . Setiap unit adalah bertanggungjawab untuk menyelaras dan mengendalikan aktiviti berkaitan yang memberi impak kepada KPI Politeknik sepanjang tahun samada di peringkat PSA, kebangsaan maupun antarabangsa.

 

UNIT KOKURIKULUM BERKREDIT

Unit ini terbahagi kepada 3 unit kecil iatu:

  1. Sukan Berkredit (DRS)
  2. Unit Kelab Berkredit (DRK)
  3. Unit Badan Beruniform Berkredit (DRB)

Kokurikulum berkredit ini telah mula diwajibkan kepada semua politeknik mulai sesi Disember 2014. Matlamat utama aktiviti kokurikulum adalah bagi merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara. Antara matlamat pelaksanaan kursus kokurikulum di politeknik adalah seperti:

  • Meningkatkan penguasaan pengetahuan dan kemahiran khusus di dalam bidang sukan,kelab/persatuan atau unit beruniform di kalangan pelajar.
  • Mengukuhkan kemahiran insaniah melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum yang terancang.
  • Membantu pelajar agar menjadi seorang yang aktif, kreatif, berfikiran kritis, inovatif dan mempunyai sahsiah kepimpinan yang baik.
  • Memperkukuhkan semangat kerja berpasukan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global.
  • Membantu pihak institusi melahirkan graduan yang berketrampilan dan harmonis dalam aspek-aspek intelek rohani, emosi dan jasmani.

Terdapat 2 laluan yang telah disediakan dan pelajar diberi pilihan untuk memilih sama ada Laluan 1 atau Laluan 2. Deskripsi laluan-laluan tersebut adalah seperti berikut.

Program Diploma

  1. Laluan 1 :
    • Memilih salah satu opsyen sukan (DRS) pada semester 2. (Rujuk Kursus Sukan Berkredit)
    • Memilih salah satu opsyen Kelab/Persatuan (DRK) pada Semester 3. (Rujuk Kursus Kelab Berkredit)
  2. Laluan 2 :
    1. Memilih salah satu opsyen Unit Beruniform (DRB) dari Semester 1 hingga Semester 6. (Rujuk Kursus Unit Beruniform Berkredit)

 

UNIT SUKAN

Unit ini bertanggungjawab terhadap pembangunan atlit-atlit dari PSA dan menyediakan mereka bagi menyertai pertandingan-pertandingan sukan seperti Majlis Sukan Politeknik, pertandingan luar seperti IPT dan sebagainya. Sesi pemilihan pemain akan ditetapkan pada waktu tertentu bagi memilih atlet atau pemain yang akan mewakili Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam Kejohanan peringkat MSP, Kebangsaan atau antarabangsa.

Selain itu, pada tahun 2012, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) juga telah secara rasminya dilantik sebagai Pusat Pembangunan Sukan Ragbi Politeknik Malaysia (PPS) dengan bertujuan untuk melahirkan atlit sukan ragbi di peringkat tertinggi serta mengharumkan nama Politeknik Malaysia di kejohanan dalam dan luar negara.

Antara pertandingan dan kejohanan yang telah melibatkan pelajar dan jabatan induk seperti:-

  1. Kejohanan Bola Sepak
  2. Kejohanan Badminton
  3. Kejohanan Futsal
  4. Kejohanan Bola Jaring.

Aktiviti sukarelawan sukan yang menjadi sebahagian daripada jawatankuasa kerja dalam penganjuran sukan peringkat politeknik dan kebangsaan adalah seperti:-

  1. Kejohanan Ragbi Poly 10’s
  2. Kejohanan SUKIPT
  3. Karnival Sukan MSP

Selain dari pada itu, terdapat juga aktiviti-aktiviti kelab/persatuan di bawah kendalian Kelab Sukan PSA seperti gotong royong pusat sukan, program sukan rakyat, aktiviti ‘teambuilding’ dan ekpedisi kembara.

  1. Antara kejayaan yang telah dicapai adalah:-
    1. Johan Kejohanan Futsal IPT Piala Menteri Pengajian Tinggi Sirkit Tengah Selatan
    2. Johan ‘Plate’ Kejohanan Ragbi Antarabangsa Komodo Indonesia
    3. Naib Johan Bola Sepak Kejohanan Polycup Zon Tengah
    4. Johan Berpasukan Tenpin Bowling SUKIPT
    5. Johan berbasikal Kejohanan Jamboree Antarabangsa Jeli, Kelantan

 

UNIT KEBUDAYAAN DAN WARISAN

Unit ini bertangungjawab terhadap pencarian bakat baharu didalam bidang kesenian dan kebudayaan seperti nyanyian, tarian, teater dan sebagainya serta ditugaskan bagi mengurus dan menyedia para pelajar bagi menyertai persembahan dan pertandingan anjuran dalaman, peringkat luar dan antarabangsa. Antara program pengantarabangsaan yang telah disertai Unit Kebudayaan PSA adalah Program Pengantarabangsaan Sosio Budaya Malaysia - Thailand anjuran Unit Kebudayaan Politeknik Zon Tengah yang bertujuan menyelami sosio budaya masyarakat Selatan Thai serta berpeluang melawat Prince of Songkla University, yang merupakan universiti penyelidikan yang terbaik di Selatan Thailand bagi memberi pendedahan dan mencari peluang kerjasama pada masa yang akan datang dengan politeknik masing-masing dalam pelbagai bidang khususnya kebudayaan.

Antara aktiviti yang dijalankan seperti:-

  1. Menyertai pertandingan Drama Pentas Tamil, Oranga Naadagam 2015 Anjuran Vanakkam Malaysia Dot Com dan Astro Vaanavil
  2. Menganjurkan PSA X-Factor
  3. Menyertai pertandingan Busking dan Battle of The Band Politeknik Malaysia 2015
  4. Menyertai program Pengantarabangsaan Sosio Budaya Malaysia Thailand (Politeknik Zon Tengah)

Antara pencapaian dalam pertandingan yang boleh dibanggakan adalah seperti:-

  1. Mendapat tempat ke -4 dan persembahan terbaik dalam Battle Of The Band Politeknik Malaysia 2015, Politeknik Ungku Omar Ipoh.
  2. Mendapat tempat Ketiga dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Selangor.
  3. Mendapat tempat Ketiga dalam pertandingan Jurnal Foto dalam Jalinan Warisan : Eksplorasi Negeri Di Bawah Bayu.

 

HUBUNGI KAMI:

JABATAN SUKAN KOKURIKULUM DAN KEBUDAYAAN
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Seksyen U1, Persiaran Usahawan,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Laman Web: psa.mypolycc.edu.my
Telefon : +603-5163 4000
Faks : +603-5569 1903