4 OGOS 2022 - Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK) Ts. Zainab Ahmad mendahului senarai penerima pangkat kehormat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekali gus dianugerahkan pangkat Penolong Pesuruhjaya Bomba (Kehormat).
Pemakaian pangkat disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Seri Ts. Mohammad Hamdan Wahid dalam satu istiadat yang diadakan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini hari ini.
 
Turut menerima pangkat kehormat ialah Pengarah Bahagian Kurikulum JPPKK, Dr. Norhayati Zakaria yang dianugerahkan Penguasa Kanan Bomba Satu (Kehormat) manakala enam pegawai lagi menerima penganugerahan pangkat Penguasa Kanan Bomba Dua (Kehormat). Mereka ialah Pengarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Norehan Silek, Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Abdul Malek Hassan, Timbalan Pengarah Akademik PSA Ts Roseman Mat Jidin@Jidin, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Seberang Perai Ts. Dr. Zulhadi Zakaria, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Shuharzi Md Salleh dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah Norsyahidan Mohamad Yusof.
Hadir dalam majlis sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Dato’ Edwin Galan Teruki, Pengarah PSA Dr. Haji Mohd Zahari Ismail dan Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis.
 
Penganugerahan pangkat kehormat ini diberikan sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan JBPM kepada mana-mana individu selain pegawai bomba yang menunjukkan prestasi cemerlang serta mencurahkan khidmat dalam apa jua lapangan terutamanya dalam hal kebombaan dan penyelamatan.
Dato’ Seri Ts. Mohammad Hamdan kemudian melakukan pemeriksaan perbarisan pelatih Briged Bomba sempena Majlis Pentauliahan Briged Bomba Politeknik Malaysia Tahun 2022.
Seramai 60 pelatih daripada enam politeknik menerima sijil pentauliahan Briged Bomba. Untuk rekod, ini adalah julung kalinya penganugerahan pangkat kehormat dan pentauliahan Briged Bomba bagi Politeknik Malaysia diadakan.
 
*UNIT KOMUNIKASI KORPORAT*
*POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH*
*KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI*
4 OGOS 2022