IJAZAH SARJANA MUDA TEKNOLOGI KEJURUTERAAN ELEKTRONIK PERUBATAN DENGAN KEPUJIAN
Sinopsis
Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik Perubatan dengan Kepujian direka bentuk untuk merangkumi disiplin kejuruteraan elektrik dengan penekanan khusus dalam bidang elektronik perubatan. Pelajar akan mengikuti kurikulum akademik yang terdiri daripada modul matematik, asas elektrik dan elektronik
Selain itu, program ini turut menawarkan modul khusus dalam bidang Anatomi dan Fisiologi, Penderia dan Transduser Bioperubatan, Pemprosesan Isyarat Bioperubatan, Instrumentasi & Pengukuran Bioperubatan serta Penimejan Bioperubatan. Pada peringkat akhir pengajian, pelajar akan melalui kursus Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work Based Learning, WBL) yang merangkumi antaranya Pengurusan Hospital dan Penyelenggaraan, Penyelenggaraan Peralatan Terapeutik, Penyelenggaraan Peralatan Diagnostik, Penyelenggaraan Peralatan Makmal, Penyelenggaraan Peralatan Sokongan Hayat, Penyelenggaraan Peralatan Pergigian serta Fisioterapi / Terapi Pekerjaan, dan Projek Tahun Akhir 1 dan 2.
Selain daripada penyampaian ilmu pengetahuan dan kemahiran teknikal, program ini juga menekankan pembangunan potensi pelajar secara menyeluruh dan holistik melalui kursus seperti Falsafah dan Isu Semasa, Kokurikulum, Bahasa Asing dan Keusahawanan.
Matlamat Program
Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik Perubatan dengan Kepujian bertujuan melahirkan teknologi yang bersedia untuk bekerja dengan pengetahuan teknikal yang luas serta kemahiran amali, berkeupayaan memilih, menilai, menambah baik dan melaksanakan penyelesaian yang sesuai. Graduan juga dihasratkan mempunyai sikap yang mampu menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi dan cabaran dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan bagi menyokong aspirasi negara.
Prospek kerjaya
Program ini menyediakan teknologis mahir bagi memenuhi keperluan dalam bidang peralatan bioperubatan, khususnya industri bioperubatan. Dalam pasaran pekerjaan, graduan lazimnya berkhidmat di hospital atau syarikat subkontraktor hospital serta industri lain yang berkaitan dengan bioperubatan. Seiring dengan perkembangan pesat teknologi dalam penjagaan kesihatan dan peranannya yang semakin meluas dalam aktiviti diagnostik, terapeutik dan penyelidikan perubatan, permintaan terhadap teknologi bioperubatan mahir juga meningkat.
Teknologis bioperubatan amat diperlukan dalam industri penjagaan kesihatan, terutamanya dalam operasi dan penyelenggaraan peralatan perubatan, peralatan komputer dan elektronik serta dalam industri pembuatan mesin. Mereka turut memberikan khidmat rundingan dan menyelenggara peralatan perubatan. Selain itu, mereka juga terlibat dalam penilaian dan pengujian produk dengan menggunakan peranti pengukuran serta diagnostik bagi melaras, menguji dan membaiki peralatan perubatan.
Graduan program ini berpeluang menceburi bidang pekerjaan seperti berikut:
- Teknologis Kejuruteraan Bioperubatan
- Teknologis Pengurusan Kejuruteraan Bioperubatan
- Teknologis Elektronik Bioperubatan
- Perunding Peralatan Bioperubatan
- Perunding Jualan Bioperubatan
- Pakar Peralatan Bioperubatan
- Teknologis Perkhidmatan Bioperubatan
- Teknologis Keselamatan/Kalibrasi
- Teknousahawan dalam Peranti Bioperubatan
- Pegawai Latihan
- Pegawai Teknikal
- Pegawai Penguatkuasa Bioperubatan
- Pakar Produk Bioperubatan
- Penyiasat Bioperubatan
- Perunding / Juruaudit Sistem Perubatan
Selain peluang kerjaya, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik Perubatan dengan Kepujian juga boleh melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang elektronik perubatan atau bidang elektronik lain di universiti dalam dan luar negara, antaranya:
- Sarjana Kejuruteraan Elektronik
- Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Elektronik
- Sarjana Sains (Elektronik Perubatan)
Objektif Program (PEO)
Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik Perubatan dengan Kepujian akan melahirkan teknologi elektronik perubatan yang:
PEO 1: Mengamalkan profesion sebagai teknologis kejuruteraan dalam bidang elektronik perubatan dan bidang kejuruteraan yang berkaitan serta berkeupayaan menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi.
PEO 2: Menyumbang kepada masyarakat dengan mengamalkan etika dan tanggungjawab profesional.
PEO 3: Terlibat dalam aktiviti keusahawanan yang mengaplikasikan pengetahuan kejuruteraan dan kemahiran teknikal.
PEO 4: Terus melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran sepanjang hayat bagi mencapai kemajuan kerjaya yang berjaya.
Hasil Pembelajaran Program (PLO)
Setelah menamatkan program ini, pelajar seharusnya berupaya untuk:
PLO1: Mengaplikasikan pengetahuan dalam matematik, sains semula jadi, pengkomputeran dan asas kejuruteraan serta pengkhususan kejuruteraan bioperubatan kepada prosedur, proses, sistem atau metodologi kejuruteraan yang ditentukan dan diaplikasikan.
PLO2: Mengenal pasti, merumuskan, meneliti literatur dan menganalisis masalah kejuruteraan yang ditakrif secara meluas serta membuat kesimpulan yang berasas menggunakan kaedah analisis yang sesuai mengikut disiplin atau bidang pengkhususan; dengan mengambil kira pembangunan lestari.
PLO3: Mereka bentuk penyelesaian bagi masalah teknologi kejuruteraan yang ditakrif secara meluas serta menyumbang kepada reka bentuk sistem, komponen atau proses untuk memenuhi keperluan yang dikenal pasti dengan mengambil kira kesihatan dan keselamatan awam, kos sepanjang hayat, sifar bersih karbon, serta sumber, budaya, masyarakat dan pertimbangan alam sekitar sebagaimana yang diperlukan.
PLO4: Menjalankan penyiasatan terhadap masalah yang ditakrif dengan baik; mencari dan merujuk kod serta katalog berkaitan, serta melaksanakan ujian dan pengukuran piawai.
PLO5: Memilih dan mengaplikasikan, serta mengenal pasti batasan teknik, sumber, dan alat kejuruteraan serta IT moden yang sesuai, termasuk ramalan dan pemodelan, bagi menyelesaikan masalah kejuruteraan yang ditakrif secara meluas.
PLO6: Menganalisis dan menilai impak pembangunan lestari terhadap masyarakat, ekonomi, kelestarian, kesihatan dan keselamatan, rangka kerja undang-undang, dan alam sekitar dalam menyelesaikan masalah kejuruteraan yang ditakrif secara meluas.
PLO7: Memahami dan berpegang kepada etika profesional serta norma amalan teknologi kejuruteraan, mematuhi undang-undang kebangsaan dan antarabangsa yang berkaitan, serta menunjukkan kefahaman terhadap keperluan kepelbagaian dan keterangkuman.
PLO8: Berfungsi dengan berkesan sebagai individu, ahli atau ketua dalam pasukan yang pelbagai dan inklusif serta dalam persekitaran pelbagai disiplin, bersemuka, jarak jauh dan teragih.
PLO9: Berkomunikasi dengan berkesan dan inklusif dalam aktiviti kejuruteraan yang ditakrif secara meluas dengan komuniti kejuruteraan dan masyarakat umum, termasuk menulis laporan dan dokumentasi reka bentuk yang berkesan, membuat pembentangan yang berkesan, dengan mengambil kira perbezaan budaya, bahasa dan gaya pembelajaran.
PLO10: Mengaplikasikan pengetahuan dan kefahaman tentang prinsip pengurusan kejuruteraan dan membuat keputusan ekonomi kepada kerja sendiri, sebagai ahli dan ketua pasukan, serta mengurus projek dalam persekitaran pelbagai disiplin.
PLO11: Mengenal pasti keperluan dan mempunyai keupayaan untuk i) pembelajaran secara kendiri dan sepanjang hayat, serta ii) pemikiran kritis dalam menghadapi teknologi kepakaran baharu.