

18 Mei 2026 | Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan institusi menerusi penyertaan dalam Guizhou – Malaysia International Educational Exchange Program yang akan berlangsung di Guizhou, China bermula 24 hingga 30 Mei 2026.
Majlis flag-off delegasi PSA telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Akademik PSA, Ts. Dr. Ahmad Aftas bin Azman sebagai simbol sokongan dan komitmen institusi terhadap pembangunan pendidikan bertaraf global serta pengukuhan jaringan kerjasama antarabangsa.
Program mobiliti antarabangsa ini melibatkan seramai 20 orang peserta terdiri daripada 8 orang pensyarah dan 12 orang pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik. Penyertaan ini bukan sahaja membawa nama PSA ke peringkat antarabangsa, malah menjadi platform penting dalam memperluas pendedahan akademik, teknologi, budaya serta pengalaman global kepada warga institusi.
Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama China-Asian Education Cooperation Week (CAECW). Melalui program ini, PSA turut diberi peluang meneroka potensi kerjasama bersama Guizhou Vocational College of Media and Communication, China dalam pelbagai bidang yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan pendidikan TVET serta memperkukuh hubungan antara institusi di peringkat antarabangsa.
Majlis turut diteruskan dengan sesi menandatangani Letter of Intent (LOI) yang menjadi simbol komitmen, kepercayaan dan kesungguhan kedua-dua institusi dalam memperkasa hubungan strategik serta membuka lebih banyak peluang kolaborasi akademik, mobiliti, penyelidikan dan perkongsian kepakaran pada masa hadapan.
Semoga penyertaan delegasi PSA dalam program ini berjalan lancar serta menjadi medan terbaik dalam menimba ilmu, pengalaman dan jaringan antarabangsa yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan institusi, pelajar dan negara.
𝗣𝗮𝘀𝘀𝗶𝗼𝗻𝗮𝘁𝗲 . 𝗦𝘆𝗻𝗲𝗿𝗴𝗶𝘇𝗲 . 𝗔𝗴𝗶𝗹𝗲