24 JUN 2021: Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) menyerahkan sumbangan berjumlah RM17,087.00 untuk disalurkan ke dalam Tabung Kemanusiaan Media Prima sebagai tanda prihatin serta menyokong perjuangan Palestin menentang kezaliman rejim Zionis. Pengarah PSA, Dr. Mohd Zahari Ismail menyerahkan cek tersebut kepada Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit di perkarangan Balai Berita di sini hari ini.
PSA melalui Kelab Kebajikan Kakitangan, Pusat Islam dan Koperasi mengambil inisiatif melancarkan program PSA Prihatin Palestin pada 28 Mei 2021 sebagai menyahut seruan masyarakat dunia untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin seterusnya mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan regim zionis. Program yang diadakan secara dalam talian itu turut menampilkan Ahli Majlis Dakwah Negara yang juga penceramah bebas, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi bagi menyampaikan ceramah bertajuk “Palestin Bumi Para Anbiya”. Dalam ceramahnya, beliau turut menghurai secara ringkas mengenai sejarah Palestin, Masjid Al-Aqsa, Bani Israil dan Yahudi serta perjuangan rakyat Palestin menentang kekejaman rejim Zionis.
Menurut Dr. Mohd Zahari, selain menzahirkan sokongan, program tersebut juga bertujuan menyuntik semangat dan kesedaran terhadap isu-isu Palestin serta berkongsi menderitaan rakyat Palestin khususnya di Gaza.Dalam program tersebut, PSA turut melancarkan Tabung Bantuan Palestin 2021 yang dibuka kepada kepada kakitangan PSA sahaja dan secara rasminya ditutup pada 11 Jun 2021.
Tabung Kemanusiaan Media Prima dipilih bagi menyalurkan sumbang tersebut berikutan peranannya yang aktif dan signifikan dalam membantu golongan yang memerlukan termasuk rakyat Palestin. Selain itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussain Syed Junid juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri PSA sejak tahun 2018.